Wednesday, 17 December 2014

Perak Darul Ridzuan

Negeri Perak merupakan salah sebuah negeri di Malaysia yang kaya dengan pelbagai tarikan pelancongan. Selain keunikan gua serta bukit batu kapur yang ada di sekeliling negeri itu, tarikan lain ialah seperti pantai, tasik, hutan, pulau dan tempat bersejarah. Moh la kita terokai Negeri Perak Darul Ridzuan.

1. Zoo Taiping & Night Safari



Terletak di kawasan semula jadi di Taman Tasik Taiping berhampiran kaki Bukit Larut (Maxwell Hill), Zoo Taiping & Night Safari mempunyai keistimewaan tersendiri. Zoo Taiping atau Taman Mergastua Sultan Idris Shah satu-satunya zoo di Utara Semenanjung Malaysia. Ia mengambil masa kira-kira 45 minit dengan 2.5 kilometer trek berjalan kaki. Berkeluasan lebih 8.5 hektar, Zoo Taiping mempamerkan 1,300 haiwan daripada 180 spesies, antaranya harimau, singa, gajah, badak air, zirafah, enggang, orang utan, kambing gurun, rusa ubi, badak tampung, kijang, pelanduk, kanggaru merah, angsa hitam dan angsa magpie. Dirasmikan pada 15 Jun 2003, Night Safari antara pertama seumpamanya di negara ini.

2. Pulau Orang Utan, Bukit Merah Laketown Resort



Dengan kawasan seluas 14 hektar, Pulau Orang Utan di Bukit Merah Laketown Resort menawarkan pengunjung keterujaan melihat gelagat dan aksi orang Utan. Berasal dari Malaysia dan Indonesia, Orang Utan adalah spesies beruk terancam dan akhirnya akan dilepaskan ke dalam hutan selepas melalui program pemulihan khas. Dengan hanya menaiki feri selama lebih kurang 10 minit dari Bukit Merah, anda berpeluang melihat anak-anak Orang Utan dengan pelbagai aksi.

3. Taman Negeri Royal Belum



Taman Negeri Royal Belum adalah hutan dara yang luas dan salah satu kawasan hutan simpan terbesar di Semenanjung. Antara haiwan liar di hutan ialah gajah, badak sumbu, tapir dan harimau. Royal Belum juga kaya dengan biodiversiti di mana tiga daripada 20 spesies bunga Rafflesia boleh dijumpai dan kesemua 10 spesies enggang Malaysia berkampung di situ. Selain keindahan alam semula jadi, Taman Negeri Royal Belum juga adalah perkampungan Orang Asli iaitu di Sungai Tiang dan Sungai Kejar. Taman Negeri Royal Belum dikatakan lebih tua berbanding Hutan Amazon.

4. Hutan Paya Bakau Matang



Diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal pada tahun 1906, Hutan Paya Bakau Matang ini berkeluasan kira-kira 40,000 hektar. Ia adalah rizab hutan paya bakau terbesar di Semenanjung Malaysia. Matang kaya dengan pelbagai hidupan liar dan habitat yang tinggal di kawasan paya bakau dan dataran lumpur. Pengunjung juga boleh menaiki bot menyusuri sungai pada waktu malam untuk melihat kelip-kelip atau kunang-kunang. Antara aktiviti menarik lain yang boleh dilakukan di situ ialah melihat kehijauan pokok bakau dan memerhati burung yang pelbagai spesies. Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat proses menghasilkan arang.

No comments:

Post a Comment